Tuesday, January 4, 2011

MENGAPA MISBUN HILANG SABAR. BAM TOLONG KAJI!!!!!




DATUK LEE CHONG WEI anggap terlalu banyak faktor dan tekanan yang mengheret kepada peletakan jawatan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.
Sambil menafikan alasan tunggal kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menunaikan permintaan jurulatih itu agar anaknya Misbun Ramdan diletakkan di bawah kendaliannya, Chong Wei, semalam mendedahkan Misbun sebenarnya sudah tidak lagi gembira dengan pelbagai masalah ditimbulkan pihak pengurusan persatuan. 
“Bagi saya, masalah ini sudah lama berlarutan. Misbun tidak gembira dengan tindakan seorang pegawai persatuan yang hanya pandai cakap sedangkan tidak tahu apa-apa mengenai sukan,” kata Chong Wei.

“Pegawai itu dan juga persatuan sering memberi tekanan kepada jurulatih dan kami, sebagai pemain. Kami tahu tugas kami perlu hasilkan keputusan terbaik, malah kami sentiasa berusaha ke arah itu dengan berkerja keras. Mereka bagaimanapun menuduh kami, tidak menjalankan tugas.

“Pegawai itu sering meminta laporan jika kami tewas di mana-mana kejohanan. Saya tahu itu tugas mereka, tapi peliknya, mereka tidak pernah minta laporan jika menang. Ini tidak betul, malah persatuan mahupun pegawai itu langsung tidak mengucapkan tahniah kepada kami. Saya sendiri tidak sukakan pegawai itu,” kata Chong Wei yang enggan mendedahkan identiti pegawai itu.

Begitupun, Chong Wei berkata dia menghormati keputusan jurulatihnya itu yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Chong Wei turut mendedahkan dia dan pemain lain yang dilatih legenda badminton itu mengetahui mengenai niat Misbun meletak jawatan selepas tamat latihan, Khamis lalu.

“Selepas latihan, jurulatih (Misbun) menangis sambil beritahu dia sayangkan kami semua. Dia kata akan letak jawatan kerana tidak tahan lagi dengan pegawai itu. Selama ini dia bertahan kerana tahu itu tanggungjawabnya,” kata Chong Wei.

“Saya terhutang budi pada Misbun. Sejak di bawahnya, saya berada di ranking pertama dunia hingga kini. Saya akan teruskan rekod di puncak dunia sebagaimana yang Misbun mahukan.”

Tanpa Misbun, BAM perlu segera mencari pengganti untuk melatih pemain elit, terutama Chong Wei yang menjadi sandaran utama pingat emas Sukan Olimpik 2012 di London.

“Saya harap bila kembali dari Final Siri Super Masters di Taiwan, semua ini sudah selesai. Selepas itu saya harap Misbun dapat hadir ke Stadium Bukit Jalil menyaksikan permainan saya di Terbuka Malaysia, sama ada sebagai jurulatih atau penonton.

“Apapun saya rasa untuk membuatkan Misbun kembali melatih saya amat susah. Saya tidak tahu bagaimana BAM nak pujuk dia,” kata Chong Wei yang menyerahkan tugas mencari pengganti Misbun kepada BAM.

“Siapa jurulatih saya selepas ini saya tidak tahu. Yang penting, saya perlu dapatkan keputusan baik di Olimpik London. Sebelum itu, apapun terjadi saya tidak kisah apa orang nak kata, saya sudah lali.”

Dalam pada itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata peletakan jawatan Misbun berkuat kuasa hari ini. Pihaknya sudah mengedarkan surat peletakan jawatan jurulatih itu kepada semua exco persatuan untuk mendapatkan pandangan.

“Persatuan tidak akan memanggil satu mesyuarat disebabkan hal ini. Kami edarkan surat peletakan jawatan Misbun kepada semua exco sebelum Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh bertemu dengan jurulatih itu sendiri,” kata Kenny.

Pada September lalu, selepas mesyuarat bersama Nadzmi dan Pengarah Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj, tiga jurulatih - Misbun, Rashid Sidek dan Hendrawan - dipanggil semula untuk berbincang dengan James, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai dan Kenny kerana dikatakan tiga jurulatih perseorangan itu bermasalah dengan senarai pemain yang ditetapkan persatuan.

Misbun dikatakan tidak berpuas hati apabila permintaannya melatih Misbun Ramdan dan Iskandar Zulkarnain tidak dibenarkan.

Namun isu sebenar masih tersembunyi kerana Misbun yang dihubungi menghantar pesanan ringkas menerusi telefon bimbitnya berkata belum bersedia membuat sebarang kenyataan.

“Minta maaf, saya tak mahu bercakap sekarang. Mungkin lain kali. Selamat Tahun Baru,” katanya.

Kita harap BAM dapat kaji dan jangan biarkan perkara ini berlaku kerana DATUK MISBUN telah banyak berjaya kepada negara dengan menaikkan nama negara ke persada dunia.

info dari mymetro.

No comments:

Post a Comment